Jom Positif
Pemikiran yang positif adalah tunjang kepada ketenangan hati. Bila kita selalu positif, InsyaAllah balasan untuk kita adalah positif. Seorang yang sentiasa positif terhadap apa jua yang berlaku di sekelilingnya sama ada melibatkan dirinya sendiri ataupun sesuatu yang berlaku pada orang lain, InsyaAllah akan mendapat ketenangan hidup. Pada diri seorang yang bergelar pelajar, nilai positif ini amat diperlukan sekiranya pelajar tersebut inginkan ilmu yang senang difahami,diingati dan diamalkan. Memang senang untuk kita bercakap mengenai perubahan ke arah positif ini namun hakikatnya ianya tidaklah semudah yang disebutkan. Hanya orang yang berserah kepada Allah sahaja akan mampu untuk berusaha ke arah positif. Hubungan dengan Allah haruslah dititikberatkan dahulu sebelum melangkah ke fasa seterusnya iaitu hubungan sesama manusia. Kalau baik hubungan kita dengan Allah, maka insyaAllah akan dipermudahkan segala urusan kita dengan manusia dan sebaliknya. Sebagai pelajar pula, adalah amat digalakkan untuk bercakap, berbincang atau melakukan aktiviti dan berinteraksi dengan cara yang positif. Dari itulah aura positif akan terhasil dan seterusnya akan menjadi praktis atau amalan seharian. Buangkan segala sifat mazmumah di dalam hati kerana penyakit yang paling berbahaya bagi seluruh umat manusia adalah penyakit hati. Walaupun bukan mudah untuk berubah secara drastik, cubalah berusaha untuk ke arah kebaikan secara istiqamah. InsyaAllah dipermudahkan. Suka saya ingatkan sekali lagi. Baiki dahulu hubungan kita dengan Pencipta barulah jalan yang terang menyusuli kehidupan kita sebagai hamba-Nya. InsyaAllah.
Subscribe to:
Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment